Nak Souvenier best?

Showing posts with label sex problem. Show all posts
Showing posts with label sex problem. Show all posts

kesukaran untuk hamil? 4

Pencegahan

  • Amalkan gaya hidup yang sihat. Berhenti merokok atau mena gih dadah. Lakukan senaman, kekalkan berat badan yang ideal. Cuba elakkan aktiviti yang memberikan tekanan dan kurangkan pengambilan alkohol. Elakkan dan lindungi diri daripada penyakit jangkitan seksual (STD)
  • Lakukan hubungan kelamin semasa waktu subur (hari ke 10-16) untuk meningkatkan peluang kehamilan
  • Dapatkan rawatan awal jika kitaran haid tidak teratur (bagi wanita)
  • Berkomunikasi, kongsi perasaan dan emosi dengan pasangan secara berterusan serta sentiasa menyokong antara satu sama lain
  • Bagi lelaki, elakkan daripada memakai pakaian seluar dalam yang ketat atau berendam dalam air panas ataupun pergi ke sauna.
  • Dapatkan rawatan dengan segera jika merasa sakit. Dapatkan juga rawatan bagi penyakit kronik seperti diabetes, hipertiroidisme dsb.

kesukaran untuk hamil? 3

Rawatan

Beberapa ujian asas boleh dijalankan oleh pakar. Ini termasuklah analisis air mani bagi lelaki dan ujian berkaitan hormon pada hari ke-21 bagi ovulasi untuk wanita. Jika ketidaknormalan ditemui semasa ujian klinikal pesakit harus dirujuk kepada pakar kesuburan. Melaluinya pemeriksaan lanjut ke atas tiub fallopio, kaviti uterus dan sebagainya akan dijalankan. Ia dilakukan menggunakan imbasan ultrabunyi (melalui imbasan trans-vagina), imbasan radiologi iaitu HSG (histerosalpingogram) atau pembedahan kecil secara invasif (laparoskopi atau histeroskopi).

Pemilihan rawatan termasuk rangsangan ovulasi dengan ubatan kesuburan dan pemantauan dengan imbasan ultrabunyi serta inseminasi sperma suami ke dalam rahim (permanian beradas). Sesetengah pasangan pula mungkin memerlukan teknik perubatan yang lebih maju. Teknik ini adalah in-vitro fertilization, IVF (bayi tabung uji) di mana telur (ovum) disenyawakan dalam makmal dan embrio yang telah terbentuk dimasukkan semula ke dalam rahim . Suntikan sperma secara intra-cytoplasmic (ICSI) pula bermaksud persenyawaan telur dihasilkan dengan menyuntik satu sperma ke dalam telur. Penyedutan sperma testikular (TESE/TESA) pula adalah di mana sperma diperolehi daripada testis melalui pembedahan. Rawatan pembalikan dari ketidaksuburan adalah pilihan untuk wanita yang telah menjalani pengikatan (ligasi) tiub peranakan.

kesukaran untuk hamil? 2

Sebab-sebab

Di antara sebab-sebab kepada ketidaksuburan adalah masalah berkaitan ovulasi (penghasilan telur) , struktur tiub fallopio dan kaviti uterus yang tidak jelas. Masalah ovulasi boleh disebabkan oleh sindrom polycystic ovarian, hormon yang tidak seimbang, kekurangan atau berlebihan berat badan, sakit kronik dan pembedahan pada ovari. Berkaitan dengan tiub fallopio pula, ia mungkin disebabkan tiub berkenaan tersumbat atau telah rosak. Ini mungkin akibat daripada jangkitan penyakit kelamin (STD), pembedahan sebelumnya atau masalah endometriosis.

Bagi golongan lelaki pula masalah yang biasa dihadapi adalah tahap kualiti sperma yang kurang atau abnormal. Ketidaknormalan ini meliputi bilangan sperma , pergerakan sperma dan atau rupabentuk sperma. Keadaan ini berpunca samada daripada keabnormalan kongenital, masalah hormone, jangkitan pada testis (contoh; demam campak), testis yang termasuk, pendedahan kepada radiasi / bahan kimia, merokok, lebihan berat badan dan varicocele. Bagi sesetengah pasangan pula mungkin sebab-sebabnya tidak dapat dikenal pasti dan digolongkan sebagai ?unexplained subfertility?. Tekanan juga mungkin menjadi faktor tetapi agak sukar untuk dikategorikan.

kesukaran untuk hamil? 1

~ semoga dapat sama2 berkongsi artikel ini dari myhealth

Pengenalan

Kebanyakan pasangan yang berkahwin memperolehi zuriat tanpa sebarang kesukaran atau masalah serta tidak perlu menunggu masa yang lama. Namun begitu, satu daripada enam atau tujuh pasangan ini akan mengalami masalah dan secara perubatannnya ia dipanggil sebagai subfertiliti. Definisi ini bermaksud kesukaran untuk hamil walaupun telah melakukan hubungan seks secara tetap tanpa pelindung selama dua tahun. Bagaimanapun rawatan biasanya akan diberikan selepas setahun berkahwin. Ini tidak termasuk pasangan yang mempunyai masalah organ seksual yang tidak berfungsi kerana tidak mampu untuk menghasilkan atau mengekalkan ereksi atau ejakulasi.

Salah satu daripada sebab utama ketidaksuburan adalah kerana pasangan hanya mula merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga pada usia yang lewat. Ini adalah faktor utama bagi wanita, di mana kadar kesuburan menurun dengan peningkatan usia. Bagi wanita yang berumur di antara 35 hingga 39 tahun peluang untuk hamil akan berkurangan separuh daripada wanita yang berumur di antara 19 hingga 26 tahun

mati pucuk?.. disfungsi erektil 3

Apa yang Boleh Anda Lakukan untuk Mencegah dan Merawat Mati Pucuk

Mati pucuk sebenarnya boleh dielakkan walaupun anda menghidap diabetes. Selain dari membincangkan masalah ini bersama doktor anda, ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mencegah dan merawat mati pucuk:

  • Pastikan aras glukosa dalam darah anda berada dalam kawalan yang baik. Kawalan aras glukosa dalam darah yang baik akan mencegah kerosakan pada saraf dan saluran darah yang kecil yang menyebabkan mati pucuk. Jika anda menghadapi kesukaran untuk mengawal aras glukosa dalam darah anda atau mengikuti saranan dan nasihat doktor, sila berbincang dengan doktor anda untuk mencari penyelesaian.
  • Ketahui ubat-ubatan yang anda ambil. Anda mungkin sedang mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mati pucuk akibat kesan sampingannya, contohnya sesetengah ubat bagi hipertensi atau merawat kemurungan. Tolong jangan berhenti mengambil ubat-ubatan tersebut, sebaliknya bincang dengan doktor anda
  • Berhenti merokok! Merokok menyebabkan saluran darah menjadi sempit, dan ini menyumbang kepada kejadian mati pucuk. Merokok juga menyebabkan paras nitrik oksida menjadi rendah, dan ini menghadkan peredaran darah ke bahagian zakar.
  • Pantau jumlah minuman beralkohol yang diminum. Pengambilan minuman alkohol yang berlebihan boleh merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko kejadian mati pucuk.
  • Kurangkan stress (tekanan). Stres boleh mengganggu ereksi (proses zakar menjadi tegang). Bagi mengawal stres, semua kerja harian yang dilakukan perlu dinilai dan disusun mengikut kepentingannya. Tetapkan sasaran kerja atau tugasan yang munasabah, dan minta pertolongan jika perlu.
  • Kekal aktif secara fizikal. Senaman secara tetap dan berkala dapat mengekalkan peredaran darah yang baik, menambah stamina serta menjaga kesihatan jantung anda.
  • Tanganilah kelesuan. Jika anda mendapat rehat yang cukup, anda pasti kurang mendapat masalah mati pucuk.
  • Tangani keresahan (anxiety) dan kemurungan. Keresahan dan kemurungan boleh menyebabkan mati pucuk. Jika anda merasa lebih risau anda menghidap mati pucuk, perasaan ini mampu membuat keadaan mati pucuk anda menjadi bertambah buruk. Jika anda mengalami keresahan dan kemurungan, berbincanglah dengan doktor anda kerana masalah ini boleh dirawat.
  • Ambillah ubat untuk merawat mati pucuk. Doktor mungkin memberikan ubat untuk merawat mati pucuk. Ada beberapa jenis ubat yang berada di pasaran sekarang, tetapi ia tidak selamat untuk semua lelaki contohnya bagi mereka yang mengambil ubat jenis nitrates untuk merawat penyakit jantung, atau alpha-blockers untuk merawat masalah kelenjar prostat bengkak atau hipertensi. Selain daripada ubat yang dimakan, terdapat beberapa cara lain untuk merawat mati pucuk. Berbincanglah dengan doktor anda mengenai rawatan alternatif yang sedia ada.

mati pucuk?.. disfungsi erektil 2

Bagaimana Diabetes Menyebabkan Mati Pucuk di Kalangan Lelaki

Mati pucuk merupakan satu komplikasi akibat diabetes yang kerap terjadi. Ia merupakan satu masalah yang kerap dihadapi oleh kaum lelaki yang menghidap diabetes dan kajian saintifik menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap diabetes adalah tiga kali ganda berkemungkinan mendapat mati pucuk berbanding lelaki yang sihat. Sesiapa sahaja boleh mendapat mati pucuk, namun jika anda menghidap diabetes, keadaan berikut terjadi kepada tubuh badan anda:

  • Aras glukosa yang tinggi di dalam peredaran darah boleh merosakkan saraf dan salur darah yang terlibat dalam proses ereksi (penegangan zakar). Anda berfikiran anda sudah bersedia untuk melakukan hubungan kelamin, tetapi maklumat tersebut tidak dapat disampaikan dari otak ke bahagian zakar. Oleh yang demikian, zakar anda gagal untuk menegang dan menjadi keras.
  • Diabetes juga menyebabkan pelbagai komplikasi, seperti penyakit kardiovaskular (jantung) yang boleh mengakibatkan saluran darah anda menjadi sempit dan kurang kenyal. Ini boleh mengurangkan peredaran darah ke bahagian zakar, mengakibatkan zakar anda sukar untuk menegang dan menjadi keras.
  • Aras glukosa dalam darah yang tinggi juga menghalang rembesan satu bahan kimia yang dipanggil nitrik oksida. Aras nitrik oksida yang rendah juga mengurangkan peredaran darah ke bahagian zakar, menghalang proses ereksi.

Anda lebih berisiko mendapat mati pucuk apabila lebih lama anda menghidap diabetes ataupun apabila penyakit diabetes anda tidak terkawal.

mati pucuk?.. disfungsi erektil 1

~kongsi pengetahuan ini dipetik dari portal myhealth

Pengenalan

Anda mungkin mengalami disfungsi erektil (mati pucuk) jika zakar anda sukar mengeras dan tegang sehingga anda tidak boleh melakukan hubungan kelamin. Jika kejadian ini berlaku hanya sekali sekala, anda tidak mengalami mati pucuk. Namun jika ia kerap berlaku selama lebih 3 bulan, anda mungkin menghidap mati pucuk.

Mati pucuk bukanlah hanya sekadar isu hubungan kelamin dan kualiti hidup yang merundum. Sebenarnya kejadian mati pucuk mungkin satu tanda awal masalah kesihatan yang lain pada diri anda. Sekiranya anda merasakan anda menghidap mati pucuk, anda perlu mendapatkan rawatan pada peringkat awal lagi. Anda mungkin merasa berat hati atau malu untuk mendapatkan rawatan, tetapi mati pucuk tidak boleh dirawat sendiri, dan biasanya semakin lama akan menjadi semakin teruk. Doktor yang merawat anda akan melakukan pemeriksaan tahap gula dan kolesterol dalam darah, tekanan darah, status merokok, tahap kemurungan (jika ada) dan saringan lain-lain masalah kesihatan.

Jika tidak dirawat, mati pucuk boleh menyebabkan anda merasa kecewa, sedih dan kemurungan, seterusnya ketidakpuasan hati di dalam hubungan seksual di antara anda dan pasangan anda. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, mati pucuk boleh menjadi punca perbalahan. Mati pucuk boleh dirawat untuk kebanyakan pesakit, tetapi anda perlu mengambil langkah untuk merawat dan mencegah mati pucuk.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...