"NAMA saya kini Dahlia," si cantik Daphne Eleanor Iking membuka bicara. Sebuah ikrar bahawa dirinya kini sudah bergelar Muslim dan memeluk Islam. Dahlia melafazkan dua kalimah syahadah pada tarikh bersejarah, 8 Januari 2011. Tarikh itu juga menyaksikan dia sekali lagi menyarung status isteri.
"Jangan segan untuk terus menggunakan nama Daphne," sambungnya.
Takdir menjadi mualaf
Mungkin ada yang berfikiran skeptikal, berkahwin dengan seorang Muslim bernama Azmi Abdul Rahman atau mesra disapa Joe membuatkan Daphne terpanggil memeluk Islam. Namun dia punya sebab tersendiri, punya rasa tersentuh dengan kemurniaan Islam dan menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad S.A.W. Ini kisah bagaimana Daphne atau Dahlia akhirnya bergelar mualaf.
"Saya bertukar agama bukan kerana sesiapa. Saya lakukan dengan ketulusan hati, demi diri dan masa depan saya. Alhamdulillah, ia adalah pengalaman yang paling indah," tegasnya yang membikin kejutan kepada penonton Anugerah Sri Angkasa 2010 apabila melafazkan ungkapan 'MasyaAllah' dan 'Assalamualaikum' pada malam tersebut