Adenovirus
Adenovirus Menyerang lagi.
PUTRAJAYA - Seorang lagi pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur meninggal dunia akibat jangkitan adenovirus kelmarin, menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat serangan virus itu menjadi tiga orang setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengesahkan kes itu berkata, mangsa ketiga yang maut akibat jangkitan itu berasal dari Bagan Datoh, Perak, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam kelmarin.
Tiong Lai berkata, mangsa, Konstabel Mohammad Siman, 23, telah dimasukkan ke hospital itu sejak 3 Mac lalu dan meninggal akibat organ dalamannya gagal berfungsi.
"Kes ini bukan kes terbaru dan kali terakhir kita menerima laporan pelatih dijangkiti adenovirus ialah pada 19 Mac lalu.
"Justeru, kita masih menunggu jika ada lagi yang dijangkiti atau tidak selepas itu sebelum boleh mengisytiharkan Pulapol bebas daripada jangkitan selewat-lewatnya 2 April ini (Sabtu)," katanya kepada pemberita semalam.
Sebelum Mohammad, jangkitan virus tersebut telah meragut nyawa Konstabel Mohd. Azizan Azidi, 25, dan Inspektor Mohd. Redzuan Ishak, 26, pada awal bulan lalu.
Virus lagi!!
KUALA LUMPUR - Seorang lagi pelatih inspektor lelaki Pusat Latihan Polis (Pulapol) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam akibat jangkitan Adenovirus.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan sebelum ini, seorang pelatih konstabel lelaki dan dua pelatih inspektor wanita masih dirawat di unit itu, menjadikan jumlah yang dimasukkan ke ICU empat orang berbanding tiga kelmarin.
Menurut laman itu, jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang iaitu sembilan pelatih inspektor lelaki, 11 pelatih inspektor wanita dan empat pelatih konstabel lelaki manakala jumlah mereka yang dikuarantin ialah 347 orang
ADENOVIRUS.
KUALA LUMPUR - Ahli keluarga dilarang daripada melawat pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang kini dirawat di hospital akibat jangkitan virus Adenovirus.
Komandan Pulapol, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed berkata, pihaknya menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan supaya memaklumkan ahli keluarga pelatih berhubung larangan tersebut.
"Mereka tidak dibenarkan melawat pelatih yang ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh (HSB) ketika ini bagi mengelak penularan penyakit di kalangan anggota keluarga," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
"Bagaimanapun, setiap pelatih tetap diberi kebenaran untuk menghubungi anggota keluarga terdekat bagi memaklumkan mengenai tahap kesihatan mereka," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.