GEORGETOWN - Operasi perkhidmatan kereta api Bukit Bendera kembali pulih hari ini setelah kerja-kerja membaiki alat penjana elektrik koc selesai.
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Datuk Lee Kah Choon berkata, perkhidmatan kereta api itu yang terganggu sejak petang Selasa lepas mula beroperasi 6.30 pagi ini.
"Operasi kereta api telah pulih dan kembali normal, kerja-kerja membaik pulih berjalan dengan lancar serta siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kerosakan kereta api itu dipercayai akibat pelanggaran objek di landasan yang mengakibatkan alat penghawa dingin dan pintu automatik gagal berfungsi. - Bernama
