GUA Kota Gelanggi
GUA Kota Gelanggi yang terletak di daerah Jerantut, Pahang menyimpan pelbagai cerita ganjil dan misteri.
Di dalam gua ini, terdapat tujuh buah gua yang dipanggil kota iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.
Ada yang mengatakan gua itu wujud berikutan pergaduhan antara Raja Muda Mambang dan putera Raja Rembau bernama Rusul kerana berebutkan puteri Datuk Indera Raja Laut.
Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung dengannya. Rusul menyahut cabaran itu lalu menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya, tetapi tidak berjaya.
Apabila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang yang serta-merta membunuhnya.
Darahnya dikatakan sentiasa mengalir sehingga ke hari ini melalui aliran cecair yang kelihatan di dinding Gua Kota Gelanggi berhampiran struktur batu yang menyerupai manusia terbaring.
Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di Kota Gelanggi lalu menegur pergaduhan itu. Teguran itu menyebabkan semua benda dan makhluk di situ menjadi batu. Maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan perang, peralatan kenduri serta peralatan dan perhiasan perkahwinan.
2 comments:
Assalamualaikum Nur
tumpang baca cerita
tak ada yg mustahil. Segalanya mungkin.
Post a Comment