Apakah Ekstasi?
Ia adalah sejenis dadah dari kumpulan Amphetamine-Type Stimulant (ATS). Secara kimianya, ia dikenali sebagai 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) Seperti lain-lain dadah yang diharamkan, tiada kawalan kepada faktor seperti keberkesanan dan kebersihan semasa proses pembuatannya yang dijalankan secara haram. Penipuan sering berlaku dengan penambahan bahan lain yang lebih murah.
Dadah begini mempunyai jumlah MDMA yang berbeza. Oleh itu ia boleh meningkatkan risiko untuk mengambil dos yang berlebihan, mengalami keracunan atau mengalami kesan sampingan selepas mengambilnya.
Apakah nama lain untuk Ekstasi?
Ekstasi juga dikenali sebagai 'love drug', 'yuppie drug', 'pink lady' dan 'playboy'.
Adakah Ekstasi merbahaya kepada kesihatan?
Ya. Ekstasi mempunyai banyak kesan yang buruk kepada kesihatan.
Ekstasi Menyebabkan Ketagihan Secara Psikologi
* Penagihnya akan bergantung kepada dadah ini secara psikologi. Mengambil dadah ini menjadi lebih utama dari segala aktiviti lain dalam kehidupan penagihnya. Ia akan menjadi semakin sukar untuk penagih berhenti atau mengurangkan penggunaan Ekstasi.
Ekstasi Menyebabkan Masalah Psikiatri
* Kelakuan yang pelik, paranoia (perasaan syak wasangka yang melampau tanpa sebab yang kukuh), kemurungan dan berhalusinasi (mengalami sesuatu yang tidak wujud).
Kesan Ekstasi Pada Sistem Saraf Pusat
* Kesan dadah ini kepada sistem saraf pusat tubuh ialah dengan meningkatkan suhu badan, peningkatan denyutan jantung dan tekanan darah. Ini ditambah pula dengan terlalu panas dan meminum air yang banyak akan menyebabkan otak menjadi bengkak, pendarahan dalam otak, kerosakan otak dan kematian.
* Kesan jangka panjang dadah ini ialah kerosakan yang kekal pada urat saraf dan sebahagian daripada otak
Ekstasi Merosakan Jantung
* Ia menyebabkan jantung berdenyut lebih cepat dari biasa
* Ia juga meningkatkan tekanan darah
* Ini akan menyebabkan denyutan jantung yang tidak menentu, kegagalan jantung dan kematian
Ekstasi Merosakan Otot, Sendi dan Tulang
* Menari terlalu lama yang disebabkan oleh Ekstasi boleh mencederakan otot, sendi-sendi dan tulang.
Ekstasi Menganggu Keupayaan Darah Untuk Membeku
* Ekstasi mungkin akan memberhentikan keupayaan darah untuk membeku yang mengakibatkan pendarahan dalaman dan kematian kepada penagihnya
Ekstasi Membahayakan Kehamilan
* Ekstasi mungkin dapat melepasi uri dan membahayakan janin dalam kandungan. Keguguran boleh berlaku.
Ekstasi Membahayakan Pengguna Jalanraya
* Risiko untuk berlakunya kemalangan bertambah apabila pemandu kenderaan berada di bawah pengaruh Ekstasi kerana gangguan peglihatan, halusinasi dan pengurusan yang lemah
Ekstasi Mendedahkan Penagihnya Kepada Eksploitasi Seksual dan Seks Yang Tidak Selamat
* Remaja, terutama sekali gadis yang berada di bawah pengaruh Ekstasi, akan terdedah kepada bahaya eksploitasi seksual, seperti seks yang tidak selamat, kemungkinan untuk mendapat jangkitan HIV, Hepatitis dan lain-lain sakit kelamin.
Siapa sahaja yang mengidap penyakit tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetis, penyakit hati, sawan (epilepsy) dan sejarah penyakit mental atau mudah panik berhadapan dengan bahaya secara fizikal dan psikologi apabila mengambil Ekstasi.
Bagaimana kematian boleh berlaku pada penagih Ekstasi?
Tiada kaitan antara dos yang diambil dengan risiko kesan sampingan yang serius atau kematian. Seseorang itu boleh maut hanya dengan mengambil cuma sebiji sahaja pil Ekstasi. Kebanyakan kes kematian akibat Ekstasi berlaku pada penagih yang biasa mengambilnya tanpa sebarang kesan sampingan yang merbahaya. Tiada siapa tahu mengapa setengah orang mempunyai kesan sampingan yang teruk kepada dadah ini.
* Kesan rangsangan dadah ini menyebabkan tekanan darah terlalu tinggi, suhu badan naik terlalu tinggi dan denyutan jantung yang terlalu laju. Ini akan mengakibatkan serangan sakit jantung dan pendarahan dalam otak
* Kepanasan yang melampau dan kekeringan
o Berpeluh yang berlebihan yang disebabkan oleh kepanasan dan kegagalan untuk menggantikan garam dan air yang hilang melalui peluh yang berlebihan menyebabkan kekeringan. Tubuh akan cuba mengekalkan air didalam badan dengan memberhentikan fungsi perpeluhan dan buah pinggang
o Kepanasan menyebabkan terjadinya kekejangan, koma kegagalan buah pinggang yang akut dan kematian
* Meminum terlalu banyak air
o Beberapa kes kematian telah berlaku akibat dari meminum air yang terlalu banyak dalam masa yang singkat kerana terlalu dahaga
o Di bawah pengaruh Ekstasi, pernah terjadi penagihnya meminum air sebanyak 20 liter dalam masa 3 jam. Kesannya darah menjadi cair dan sel-sel tubuh mengembang yang mana boleh membawa kematian di otak kerana sel-sel otak mengembang dan akhirnya tertekan oleh tulang tengkorak.
o Bahagian otak yang mengawal jantung dan pernafasan akan mengalami kerosakan kekal dan orang itu akan mati
o Dadah ini menyebabkan tubuh mengeluarkan sejenis hormon iaitu hormon antidiuretic yang menghalang buah pinggang membuang air yang berlebihan yang menyebabkan ia menjadi semakin teruk
Apa pandangan undang-undang mengenai Ekstasi?
Menurut Akta Dadah Merbahaya (Pindaan 1998), sesiapa yang memiliki dadah jenis MDMA:
* Kurang dari 5mg boleh dihukum dibawah seksyen 12(3) akta tersebut yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih dari RM 100,000 dan/atau penjara penjara tidak lebih dari 5 tahun
* 5mg dan kurang dari 30mg, boleh didakwa di bawah seksyen 39A(1) akta tersebut yang membawa hukuman penjara antara 2-3 tahun dan dirotan sebanyak 3 - 9 kali.
* 30mg dan kurang dari 50mg boleh didakwa dibawah seksyen 39A(2) akta dadah merbahaya yang membawa hukuman penjara antara 5 tahun ke seumur hidup dan rotan tidak kurang dari 10 kali
* 50mg atau lebih, dianggap sebagai pengedar dadah dan membawa hukuman mandatori hukuman mati jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen 39B akta
Di bawah akta ini hukuman mandatori rotan sehingga 3 kali, untuk kakitangan kerajaan yang berkerja di pusat pemulihan, lokap polis, penjara dan pusat tahanan yang ditangkap bersama dengan dadah tersebut.
0 comments:
Post a Comment