KUALA LUMPUR: Lynas Corporation Ltd, dari Australia, yang kini terjebak di dalam keadaan kontroversi berkaitan cadangan pembinaan kilang nadir bumi di Gebeng, Pahang, menyatakan ia mahu menjadi penyumbang positif kepada komuniti dan bukan dilihat sebagai datang ke negara ini dan merosakkannya.
Pengerusi Eksekutifnya, Nicholas Curtis, yang tidak menjangka tentangan yang dihadapi lebih besar dari jangkaan, memberitahu Bernama behawa beliau menyambut baik teguran membina oleh pihak yang bimbang mengenai isu itu kerana terdapat terlalu banyak penyebaran maklumat yang salah.
Adalah dilaporkan bahawa kontroversi mengenai pembinaan kilang oksida nadir bumi bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd di Estet Perindustrian Gebeng, itu telah mencetuskan dakwaan bahawa ia akan mengeluarkan radiasi yang membahayakan kesihatan orang ramai.
Curtis bersetuju bahawa Lynas gagal menyalurkan maklumat secara aktif kepada komuniti.
"Saya raya saya juga bertanggung jawab kerana tidak cukup menjelaskan kedudukan kami. Kami ingat kami telah melakukan yang mencukupi untuk meredakan tentangan dengan memberikan penjelasan kepada para pengawal aturan mengenai apa yang perlu kami lakukan bagi mendapatkan kelulusan apabila obligasinya lebih daripada itu terhadap komuniti," katanya.
Katanya kerajaan telah bertindak secara bertangggung jawab dengan tidak bertolak ansur mengenai isu kesihatan dan keselamatan.
"Kami tidak mahu menyebabkan kerosakan terhadap komuniti. Kami mahu memastikan industri itu selamat. Kami tidak berkomunikasi secara berkesan di dalam isu itu," katanya.
Katanya urusan nadir bumi sebenar adalah sangat baik bagi masa depan kerana ia menjuruskan kepada pengeluaran bahan bagi penggunaan sains dan teknologi, yang termasuk teknologi hijau dan adalah industri yang baik bagi Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020.
Adalah difahamkan bahawa nadir bumi adalah elemen utama di dalam bahan canggih di segi teknologi, di dalam pembuatan kepelbagaian produk yang meluas, yang termasuk pengubah pemangkin, turbin angin, bateri kereta hibrid, pemacu cakera, telefon mudah alih dan paparan skrin rata.
Sehubungan itu, urusannya yang sebenar mempunyai potensi yang besar untuk menjadi satu wadah bagi mewujudkan rantaian nilai masa depan bagi membina kluster industri bernilai tambah akan datang yang akan dibina di sini.
"Wujud peluang yang menerujakan bagi membina satu kluster industri berteknologi tinggi seperti automotif, elektronik yang selari dengan pelan 2020," kata Curtis.
Katanya Malaysia adalah satu tempat yang baik untuk datang melabur dan Gebeng mempunyai infrastruktur yang perlu bagi industri berat. "Kami memilih untuk datang ke Malaysia. Kami telah membuat pilihan untuk mengkaji tapak di Australia dan juga tempat lain seperti China. Oleh kerana kami aktif dalam perniagaan global, kami memilih Malaysia kerana infrastrukturnya telah lengkap dibangunkan dan peraturannya adalah jelas," katanya.
Curtis berkata standard Malaysia dikenali sebagai paling ketat di dunia yang memerlukan satu lesen bagi sebarang bahan yang mempunyai sebarang paras radiasi.
Syarikat itu juga memilih untuk datang ke Malaysia walau pun mengetahui reaksi komunitinya terhadap insiden Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah pada awal 1990'an.
"Kami merasakan persekitaran pengawal atur mengetahui mengenai risiko dan paras profesional di sini adalah tinggi. Jadi, kami boleh menjelaskan secara berkesan dengan para pengawal atur. Kami juga mengetahui bahawa bahan kami secara fundamentalnya berbeza dengan yang di Bukit Merah," katanya.
Syarikat itu sebelum ini menekankan bahawa bahan mentah itu akan disumberkan dari Mount Weld di Australia tidak sama berbanding yang diproses di Bukit Merah.Amang yang diproses di Bukit Merah mengandungi paras tinggi thorium, yang menjadi sumber radiasi, manakala Lynas menggunakan bahan mentah yang lazimnya mempunyai paras thorium yang rendah, iaitu 50 kali lebih rendah dari amang yang digunakan oleh ARE.
"Kami tidak mahu merosakkan komuniti. Kami mahu menjadi penyumbang positif kepada komuniti," kata Curtis, sambil memastikan bahawa aspek keselamatan sangat dititikberatkan oleh Lynas.
Lynas mengumumkan pada April bahawa pembinaan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) telah mencapai peringkat 40 peratus dan berada pada landasan disiapkan menjelang September 2011.
Bagaimana pun, kebimbangan orang ramai yang meluas mengenai keselamatan projek itu telah mendorong kepada pelantikan panel bebas pakar antarabangsa untuk menyemak semula kesemua aspek kesihatan dan keselamatan projek itu.
Panel pakar yang dilantik oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah membuat lawatan tapak dari 29 Mei hingga 3 Jun dan laporannya akan dikemukakan kepada kerajaan menjelang akhir bulan ini.
Curtis berkata Lynas akan akur sepenuhnya dengan keputusan IAEA dan syarikat itu akan sentiasa menunjukkan bahawa ia bersikap jujur dengan apa yang telah dinyatakannya.-BERNAMA
1 comments:
adakah kejujuran dipegang sehingga akhir?
Post a Comment