Khasiat
“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.
Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.
Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.
Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.
Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.
Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.
Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.
“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.
“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.
Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.
Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.
Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.
Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.
Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.
Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.
“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.
“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.