MOGADISHU – Bandar Mogadishu di Somalia dianggap antara yang paling  tidak selamat di dunia kerana kejadian tembakan curi yang dilepaskan  oleh beberapa kumpulan militia yang saling bermusuhan kerap berlaku.
Kejadian tembakan curi itu berlaku selepas kumpulan bersenjata yang  bersekutu dengan Al-Qaesa, Al-Shebab melarikan diri dari bandar ini.
Kumpulan tersebut melarikan diri pada bulan lalu dari Mogadishu  selepas kalah dalam pertempuran dengan tentera kerajaan Somalia yang  diiktiraf masyarakat antarabangsa termasuk Kesatuan Afrika (AU).
Namun, kumpulan itu memberi amaran akan melakukan serangan gerila di bandar ini seperti serangan bom kereta dan pembunuhan.
Walaupun kerajaan sementara Somalia kini menguasai sepenuhnya  Mogadishu buat kali pertama selepas Perang Saudara berlaku pada 1991,  para pemberontak masih mengawal bahagian selatan dan tengah Somalia yang  kini dilanda masalah kebuluran.
Di bandar ini, kehidupan berlangsung seperti biasa dengan jalan-jalan  raya sibuk dengan bas mini, orang ramai duduk minum teh di deretan  rumah manakala penjaja menjual buah-buahan segar. 
Pasukan pemantau media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menyenaraikan  Somalia sebagai negara paling banyak kematian buat kakitangan media.
Seramai 23 kakitangan media mati sejak 2007. Jumlah itu tidak  termasuk mangsa terbaharu iaitu kakitangan Bernama TV, Noramfaizul Mohd  Nor, 39, yang mati ditembak manakala jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan,  27, cedera di Mogadishu kelmarin.
Tembakan itu dilepaskan oleh kumpulan penyerang yang tidak dikenali.
Dalam kejadian itu, seorang pegawai keselamatan dengan tentera  kerajaan yang disokong AU, Abdukarim Ali berkata, kakitangan media itu  menaiki sebuah kenderaan dalam konvoi yang disertai bersama beberapa  lelaki militia swasta yang kerap diupah oleh rakyat asing untuk  melindungi ancaman penculikan di bandar ini.
“Lelaki-lelaki itu (kakitangan Bernama TV dan jurukamera TV3)  ditembak dengan peluru semasa mereka berada di dalam kereta,” kata  Abdukarim. – Agensi 

3 comments:
good info. thanks nur :)
misi ke Somalia dalah yang paling merbahaya jika nak dibandingkan mis ke palestin...good info;-)
Muga pemergian mereka ke Somalia atas dasar keikhlasan yang yang tinggi dan dirahmati Allah!
Post a Comment