tq mstar..
PINJAMAN Peribadi dan Kad Kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini.
Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit ini sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyinya mungkin tidak sedap didengar.
Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis.
Rencana tiga bahagian ini meninjau sikap suka berhutang di kalangan masyarakat negara ini khususnya orang Melayu. Bahagian satu daripada tiga bahagian ini merungkai sikap suka berhutang orang Melayu.
"MASALAH KEWANGAN!!" Pembiayaan sehingga RM50,000. Blacklist layak memohon, bayaran yang fleksibel, faedah yang rendah, tanpa penjamin. Dapatkan wang tunai dengan serta-merta.
"PROMOSI HEBAT PINJAMAN PERIBADI mudah diluluskan dalam masa 30 min. $ Faedah yang rendah, $ Tiada caj bulanan yang terlindung! $ Tiada penjamin $ Cepat dan selamat dan pelbagai lagi kata-kata pancingan.
Ini adalah antara ungkapan kata-kata menghias risalah bertujuan untuk mengumpan pelbagai tawaran pinjaman peribadi.
Tidak cukup ditinggalkan di wiper kereta, ditampal di peti-peti surat atau di tiang-tiang tepi jalan, ada juga yang diedarkan secara terus kepada yang lalu lalang.
Sering menjadi sasaran penawar pinjaman peribadi ini ialah kakitangan kerajaan kerana alasan yang mudah, boleh potong gaji.
Dalam masa yang sama turut menjadi sasaran ialah pesara dan pekerja swasta dengan pendapatan serendah RM500 sebagai kelayakan untuk memohon!
MUDAH TAPI BEBAN
Bagi mereka yang 'sesak' dihimpit bebanan kewangan, tawaran pinjaman peribadi ini mungkin dianggap sebagai penyelamat tanpa memikirkan kemudahan kewangan yang diperoleh itu sebenarnya adalah satu beban hutang.
Begitu juga dengan kad kredit atau lazim dipanggil 'wang plastik'. Sesetengah orang menyifatkan kad kredit sebagai pemudah kehidupan moden masa kini apatah lagi jika mahu melancong atau membuat perjalanan jauh.
Faktor keselamatan, tidak bimbang wang dicuri atau hilang menjadi dorongan utama untuk penggunaan wang plastik ini.
Bagaimanapun, baik pinjaman peribadi mahupun kad kredit, hujung ceritanya tidak lain daripada menimbun hutang - jika gagal diuruskan secara bijak - daripada menjadi pemudah akan menjadi pemusnah hidup berpanjangan.
SUKA BERHUTANG
Anggapan masyarakat kita memang cenderung membuat pinjaman peribadi, dengan kata lain yang lebih telus suka sangat berhutang memang ada kebenarannya.
Antara penyebabnya mudah sangat mendapat pinjaman. Ini dapat dilihat melalui contoh risalah pinjaman peribadi yang dinyatakan awal-awal tadi sehingga yang telah di'senarai hitam' pun masih boleh memohon!
Anggapan ini senada dengan kandungan buku Pinjaman Peribadi yang dihasilkan dua penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Azrina Sobian dan Siti Fatimah Abdul Rahman.
Menurut Azrina, projek buku tersebut lahir daripada cetusan rasa bimbang mantan Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid melihat amalan suka berhutang dalam masyarakat negara ini khususnya di kalangan orang Melayu.
Daripada pemerhatian sehinggalah kepada tinjauan di lapangan, rata-rata amalan berhutang ini menjadi satu lumrah dan kebanyakan responden yang ditanya tidak sedikitpun berasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan.
"Ada yang meminjam macam salin baju. Jumlah tak banyak sekitar dua ribu atau tiga ribu ringgit, habis satu, ambil lagi satu. Ada yang ambil tiap-tiap tahun setakat untuk bercuti.
"Amalan ini kalau tak dibendung akan menjadi masalah besar," Azrina memberitahu Bernama dalam satu wawancara di pejabat Ikim di sini baru-baru ini.
ALASAN BERHUTANG
Buat pinjaman peribadi setakat untuk bayar deposit beli kereta. Tiga puluh lima peratus responden projek Buku Pinjaman Peribadi Ikim ini memberi alasan demikian sebagai sebab mereka membuat pinjaman peribadi.
"Beli kereta dah hutang, nak bayar wang pendahuluan pun berhutang. Jadi dua kali hutang.
"Berhutang untuk beli kereta boleh kita anggap satu keperluan tetapi jika tak ada duit nak bayar wang pendahuluan, mengapa tidak beli kereta yang lebih kecil yang mungkin tidak memerlukan kita berhutang untuk membayar wang pendahuluan?
"Ini menunjukkan pertimbangan yang kurang bijak di kalangan masyarakat kita. Ini amat membimbangkan," tambah Azrina sambil menambah ada juga yang meminjam untuk menukar sistem bunyi kereta dan beli tayar baru.
"Kita tak faham bagaimana ada anggota masyarakat yang buat pertimbangan begini dalam menguruskan kewangan mereka," tambahnya.
Menurut Azrina, ada juga yang meminjam untuk menutup hutang lain atau untuk menyambut satu-satu perayaan. Ada juga meminjam untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan.
Bagi penyelidik Ikim ini, alasan ini juga menunjukkan tujuan peminjaman bukanlah untuk satu keperluan yang mendesak.
"Masalahnya sekarang masyarakat kita meletakkan banyak perkara sebagai keperluan, beli televisyen baru, tukar langsir baru. Itu dikira keperluan.
"Kita perlu tegas tentang hutang. Sampai bila kita nak biarkan masyarakat kita jadi masyarakat yang berhutang. Masyarakat perlu bijak membezakan antara 'keperluan' dan 'kehendak'," tegas Azrina yang juga Fellow Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Ikim.
FIKIR BANYAK KALI
Kebanyakan yang membuat pinjaman peribadi ini hanya mencongak kemampuan mereka membuat bayaran bulanan yang mungkin tidak nampak impak besarnya.
Namun jika dikira kadar faedah, peminjam akhirnya akan membuat bayaran yang berlipat kali ganda.
Seperti kata Siti Fatimah tumpuan peminjam hanya kepada jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar balik.
"Sebanyak 30 peratus responden dalam tinjuan kami meletakkan faktor kemampuan membayar bulanan sebagai pendorong sama ada hendak ambil pinjaman peribadi atau tidak.
"Kalau mampu itulah keputusan yang mereka buat. Sepatutnya kita fikir lebih jauh. Pinjam banyak ini berapa sebenarnya kita kena bayar pada akhirnya.
"Kalau kita nampak bahawa untuk jumlah RM75 ribu kita perlu membayar balik sebanyak katalah, RM115,000, ini mungkin membuatkan kita tawar hati untuk berhutang.
"Andai kata ahli masyarakat memikirkan perkara ini, tentu ramai yang akan berfikir banyak kali sebelum mengambil pinjaman peribadi," kata Siti Fatimah yang juga Pengarah Pusat Perundingan dan Latihan Ikim (PPLI).
PINJAMAN TIDAK FORMAL
Tidak cukup meminjam daripada institusi kewangan atau koperasi. Corak berhutang ini juga menular kepada keluarga terdekat termasuk ibu bapa dan adik beradik di samping sahabat-handai.
Hasil tinjuan para penyelidik Ikim ini menunjukkan pinjaman tidak formal ini sebenarnya meluas dalam masyarakat Melayu.
Sebanyak 39 peratus daripada responden tinjauan mereka pernah mendapatkan pinjaman tidak formal. Antara sumber utama pinjaman tidak formal ini adalah ibu bapa mereka sendiri!
"Sebanyak 34 peratus meminjam daripada ibu bapa. Sepatutnya mereka bagi duit kepada ibu bapa. Sebanyak 27 peratus lagi meminjam daripada adik beradik.
"Jumlah pinjaman antara RM500 hingga RM2,000. Sebanyak 64 peratus daripada responden kami meminjam semasa kecemasan dan kekerapan meminjam satu hingga tiga kali setahun," jelas Siti Fatimah.
TIDAK ADA TABUNGAN
Jika komitmen membayar pinjaman formal sekitar 84 peratus, peratus yang lebih rendah iaitu hanya 58 peratus direkod untuk pinjaman tidak formal ini.
"Dalam Islam kalau pinjam mesti bayar walaupun dengan ibu bapa atau adik beradik kecuali orang itu menghalalkan.
"Komitmen membayar balik pinjaman tak formal yang lemah ini menunjukkan perlu ditingkatkan kesedaran dan kefahaman meminjam dari sudut pandangan Islam. Jika kita ambil remeh soal ini akhirnya antara adik beradik boleh bermasam muka, tak bertegur sapa," kata Azrina.
Beliau turut mengulas hakikatnya ramai meminjam ketika kecemasan menunjukkan mereka tidak mempunyai tabungan dan masyarakat perlu dididik supaya menabung.
"Kalau kita ada tabungan, kita ada payung, kalau hujan kita tidak perlu meminjam payung orang," katanya.
KAD KREDIT
Mengenai penggunaan kad kredit, para penyelidik Ikim ini memberitahu Bernama ia turut menjadi kandungan buku Pinjaman Peribadi yang mereka hasilkan kerana menganggap ia adalah juga bentuk hutang.
Malah pandangan mereka itu turut dipersetujui sebahagian besar responden tinjuan yang dibuat di mana sekitar 60 peratus memiliki satu hingga dua kad kredit.
"Kebanyakan responden memberitahu tujuan utama memiliki kad kredit untuk memudahkan pembayaran bil, menginap di hotel, mengisi minyak kereta.
"Memang memudahkan tetapi perlulah bayar tetapi tidak ramai yang buat pembayaran penuh. Ada yang cuma bayar jumlah minimum dan yang menyedihkan ada yang bayar ikut kemampuan. "Ada juga yang menggunakan kad kredit untuk kecemasan. Ini bahaya sebab tak ada simpanan, pinjam daripada ibu bapa dan ditambah dengan kad kredit.
"Jadi memang jelas sebahagian besar anggota masyarakat kita tidak mempunyai tabungan," jelas Siti Fatimah.
SYARAT BARU
Kedua-dua penyelidik ini turut melahirkan rasa lega dengan syarat-syarat baru yang lebih ketat seperti diumum Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.
Di bawah syarat-syarat baru ini, jumlah minimum pendapatan tahunan bagi melayakkan individu mendapatkan kad kredit dinaikkan kepada RM24,000 setahun berbanding RM18,000 sebelum ini.
Di samping itu, pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja.
"Kita harap syarat kelayakan pendapatan minimum ini akan dinaikkan lagi, mungkin kepada RM36,000 setahun. Kalau bekerja dengan kerajaan, mungkin boleh mendapat gaji sebanyak itu selepas bekerja lima tahun. Biar sudah berumur sedikit baru boleh memiliki kad kredit.
"Ini kerana kematangan menguruskan wang berkait rapat dengan umur. Mereka yang baru bekerja mungkin belum bijak mengurus wang dan jika tidak dikawal mereka boleh menjadi muflis pada usia muda kerana kad kredit," celah Siti Fatimah.
PANDANGAN ISLAM
Pandangan Islam tentang hutang jelas. Boleh berhutang tetapi untuk tujuan yang memenuhi keperluan syariat Islam dan dengan syarat-syarat tertentu.
Para penyelidik Ikim ini menegaskan mereka yang berhutang mestilah tidak melanggar syariat-syariat Islam dan wajib membayar balik hutang tersebut walaupun mereka berhutang dengan orang bukan Islam.
"Sebagai individu kita kena jelas apakah keperluan kita. Kalau tak cukup wang untuk beli makanan keluarga atau untuk belajar atau rawatan perubatan maka bolehlah berhutang tetapi perlulah dibayar balik.
"Kalau kita berhutang untuk tujuan bersuka-suka atau kerana kita ada wang lebih untuk bayar balik hutang, ini amat tidak digalakkan," Azrina memberitahu Bernama. Tata cara berhutang menurut Islam juga memerlukan butiran hutang ditulis dengan jelas dan ditandatangani di depan saksi.
Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil responden penyelidik Ikim ini maklum pinjaman tidak formal ini perlu dicatat butiran hutang.
"Jadi saya rasa masyarakat kita bukan sahaja tidak tahu Islam tidak menggalakkan hutang tetapi tidak tahu juga tata cara berhutang dalam Islam," tambah Azrina.
KEWAJIPAN MEMBAYAR
Mereka yang berhutang juga wajib membayar balik hutang dalam tempoh yang dipersetujui tetapi jika tidak mampu mesti berbincang dengan pemberi pinjaman.
Islam juga jelas menyatakan kesan-kesan hutang bagi si peminjam. Orang yang berhutang tidak akan dapat hidup dengan tenteram.
Hutang juga membawa kesedihan dan kehinaan. Orang yang berhutang juga akan cenderung untuk berdusta dan berbohong apabila berdepan dengan situasi tidak boleh membayar hutangnya.
Azrina mengibaratkan hutang seperti mata pedang.
"Ada yang tajam dan ada yang tak tajam. Kita kena buat keputusan nak kena bahagian yang tajam atau tak tajam.
"Pengguna kena buat keputusan sama ada hendak menjadi mangsa hutang dan menerima padahnya, atau menjadi pengurus hutang yang baik.
Jika kita berhutang untuk sesuatu keperluan dan menguruskan hutang itu dengan baik, maka insya-Allah kita akan menikmati manfaatnya", kata Azrina.
2 comments:
memang dari kecik, aku dididik jangan suka berhutang... kalau mak aku tau aku berhutang, mampos aku.. hehe... tapi bile dah besar ni, kadang2 kena berhutang gak la... nak bayar itu la.. ini la :)
Assalamualaikum.. Mohon sama2 mendoakan adik seorang sahabat Nadh yang sedang kritikal di hospital sekarang. Moga ALLAH selamatkan dia. amin.
p/s :: terbaik perkongsian ni. terima kasih. ;D
Nadh suka dengan blog kamu, perkongsian kamu, Jum Nadh nk pomot, join contest Aku Ingin Berubah sahabat Nadh,,.
Mungkin kita leh sama-sama sampaikan message positive pada masyarakat dengan perkongsian dalam ni plak.. :D
Post a Comment